Istikharah

| | 4 pandangan


Ketenangan kolam hatiku berkocak, lautan perasaanku mulai bergelora. Ini semua gara-gara “open house” yang diadakan oleh Ummi lewat Syawal tempoh hari. Syawal kini telah berakhir namun kemelut jiwaku belum pasti bilakan sampai titik noktahnya.

“Iqah, macam mana dengan risikan Khairi tempoh hari? Dah ada jawapannya ke belum?” Ummi menebuk lagi persoalan yang diajukannya minggu lepas. Ah, lagi-lagi Ustaz Khairi, Khairi itu, Khairi ini, Khairi begitu, Khairi begini. Muak aku mendengarnya, kadang-kadang marah pun ada, cuma ku tahan daripada mempamerkan perasaanku kerana tidak mahu menjadi anak derhaka. Walaupun dalam hatiku memberontak mahu menolaknya mentah-mentah.

“Buatlah solat Istikharah, Nabi kata siapa yang solat Istikharah tak akan menyesal!” Rasanya Ummi tahu apa yang bermain dalam fikiran dan perasaanku. Si Fahrin ni pun satu hal, nak kata sukakan aku, nampak biasa saja, nak kata tak suka kadang-kadang jelingannya menggetarkan jiwa dan perasaanku. Gurauannya mengganggu lena tidurku. Namun kalau perbualan kami menyentuh topik kahwin, Fahrin kulihat begitu kaku dan membeku. Atau akukah yang bertepuk sebelah tangan? Macam mana aku nak buat solat Istikharah jika aku sendiri tidak pasti peluang pilihanku sama ada satu, atau satu antara dua.

Aku kenali Fahrin sejak dari sekolah menengah hingga ke universiti. Entah kebetulan apa, kami mengambil jurusan yang sama iaitu perakaunan, buat praktikal di firma kewangan yang sama dan ditawarkan kerjapun di tempat yang sama. Namun hubungan kami hanya di sekolah dan di pejabat. Fahrin tidak pernah berkenalan dengan keluargaku secara 'live' kerana hingga kini, sekali pun dia tidak pernah menjejakkan kaki ke rumahku untuk bertemu muka dengan Ummi. Kedua-duanya hanya berkenalan melalui aku.

“Wah, cantik anak gadis Ummi!, secantik ibunya,” salah seorang murid ibuku memuji sebaik saja aku meletakkan dulang kuih di meja makan.
“Manisnya mulut kamu Khairi, kalau kamu puji lebih-lebih pun tak kan dapat free. Makan kuih tu.” Kudengar Ummi membalas usikan muridnya itu. Disambut dengan deraian tawa beberapa murid Ummi yang lain.

“Ummi tak tahu ke?, Si Khairi ni masih bujang trang tang-tang, jadi nak intai peluanglah tu!” Seorang lagi murid Ummi mencelah bicara, sambil tangannya menyuapkan kuih ke mulut seorang anak comel yang seiras wajahnya.

“Hai umur dah dekat tiga puluh pun tak jumpa-jumpa lagi makwe? Apalah yang dipilih-pilih sangat, rupa handsome, kereta besar, ustaz lagi, tak kan tak ada orang berkenan nak buat menantu?” Ummi menyoal kehairanan.
“Ni mesti pasal terlalu memilih sangat agaknya, dengar ni nasihat Ummi kalau nak cari pasangan yang sempurna sangat sampai bila pun tak akan kita jumpa, sebab kita manusia ni memang banyak kekurangan. Sebab tu kalau nak cari pasangan carilah pelengkap, yang dia kurang kita lengkapkan yang kita kurang dia lengkapkan” Ummi meneruskan ceramahnya.

“Ustaz kita ni pemalu Ummi, dia tunggu orang datang pinang dia,” jawab pula seorang yang lain.
“Sudah-sudahlah tu mengusik si Khairi, tengok dah merah mukanya. Makan-makanlah, penat Ummi memasak untuk kamu ni. Mi Bandung dan Bubur Harira semua dari luar negeri ni. Mi Bandung dari seberang, Bubur Harira ni dari Morocco. Tapi made in House of Ummilah sebab tak sempat nak terbang ke Indon dan Maghribi.” Demikian Ummi menyelamatkan anak murid kesayangannya itu. Hari itu kulihat Ummi teramat gembira, maklum saja rumah terbuka itu khusus dibuat untuk reunion pelajar-pelajar kelas 6A3 di salah sebuah SMKA yang Ummi pernah menjadi guru kelasnya iatu lebih kurang sepuluh tahun yang lalu.

Ummi memang dipanggil Ummi oleh murid-muridnya, pernah suatu waktu ketika aku masih di sekolah rendah, aku memarahi Ummi kerana membenarkan murid-muridnya memanggil Ummi 'Ummi' selain daripada aku anaknya.
“Dahlah Iqah hanya ada Ummi, kena pulak kongsi dengan anak murid Ummi yang ramai tu, kenapa mereka tak panggil cikgu aje macam cikgu lain, kenapa mesti panggil Ummi macam Iqah?”

Ummi hanya tersenyum dan menjawab,
“Tak pelah, Ummi senang dengan panggilan Ummi, Ummi suka ada anak ramai, tapi Iqah tetap satu-satunya anak kandung, buah hati dan pengarang jantung Ummi.” Lalu aku dirangkul dan dicium semahunya.

Hatiku sentiasa mengagumi Ummi. Sejak hari Abah meninggal dunia, dunia Ummi hanyalah rumah, sekolah, aku dan murid-muridnya. Ummi jadi janda muda apabila Abah
meninggal dunia dalam satu kemalangan langgar lari. Abah dalam perjalanan pulang selepas mengimami solat Tarawih di surau kawasan perumahan kami. Walaupun Abah seorang pegawai kerajaan tetapi Abah juga seorang Hafiz. Ketika itu usiaku baru dua tahun. Ummi baru berumur dua puluh sembilan tahun. Ummi anak yatim piatu dan ada tiga lagi adik perempuan, masing-masing telah berkeluarga sendiri. Jelas di mataku cinta Ummi terhadap Abah begitu unggul. Mungkin Ummi berhasrat untuk bersama-sama Abah di syurga nanti, sebab itu Ummi tidak mahu menikah lagi.

Apa yang aku tahu Ummi sentiasa menyibukkan diri dengan aktiviti, baik di sekolah atau di kawasan kediaman kami. Bila aku meningkat remaja sering aku dapati Ummi bangun bertahajjud di waktu malam, kadang-kala Ummi menangis sambil membaca al-Quran.
Sekarang usia Ummi sudah hampir mencapai umur pencen. Ketika kerajaan menawarkan lanjutan umur persaraan hingga ke lima puluh lapan tahun, Ummi tidak mahu menambah lagi tempoh perkhidmatannya.

“Cukuplah, lepas pencen nanti, sambil-sambil duduk di rumah Ummi nak ajar cucu pulak.” Demikian Ummi menjawab bila kuajukan persoalan mengapa tidak mahu menyambung perkhidmatan.

Macam mana ni, dah dua kali buat solat Istikharah pun belum nampak apa-apa. Hatiku masih berbelah-bahagi. Nak tunggu mimpi kot-kot wajah ustaz Khairi tu menjelma tidak juga menjelma, wajah Fahrin lagi lah tak ada. Kata ahli psikologi, kalau kita tidur sampai peringkat lena, barulah kita akan bermimpi. Betul juga, bagaimana aku hendak bermimpi, jika akhir-akhir ini tidurku tidak pernah lena dan mandiku serasa tidak basah? Kalau ikut kata Mak Ngah masa dia nak kahwin dengan Pak Ngah dulu, dia buat solat Istikharah dan bermimpi melihat sawah ladang yang menghijau berserta Pak Ngah sekali pakai baju hijau. Mak Su pula bermimpi memakai pakaian yang cantik, Mak Teh pula bermimpi dipatuk ular tapi tidak sakit. Kenapa aku tidak bermimpi? Kusut fikiranku memikirkannya.

“Ustazah, saya ada masalah sikit tentang solat Istikharah.” Aku memulakan perbualan dengan salah seorang kaunselor di firma tempat aku bekerja.
“Apa masalahnya, awak nak kahwin ke Atiqah?” Ustazah yang suka tersenyum itu bertanya.
“Entahlah ustazah, tapi ada orang merisik saya, bila saya solat istikharah tak dapat mimpi apa-apa pun.” Aku menyuarakan rasa antara malu dan harap agar mendapat jawapan yang kuinginkan..

“Begini Iqah, petunjuk Allah itu tidak semestinya datang melalui mimpi, kadang-kala petunjuk ketika kita sedang jaga lebih jelas. Mungkin ketika kita celik, hati kita buta untuk menilai petunjuk tersebut walaupun petunjuk itu sebenarnya telah terbentang di depan mata kita.” Ustazah Fatehah meneruskan khutbah ringkasnya kepadaku.

“Habis saya nak buat macam mana Ustazah?” Tanyaku seperti orang mati akal.
“Beginilah, Iqah balik, buat lagi solat Istikharah, buat dengan sepenuh hati, minta doa sungguh-sungguh, buka dan baca al-Quran sebaik sahaja lepas solat, cuba fahami maksud-maksud ayat yang Iqah baca tu, mudah-mudahan Iqah akan menemui petunjuk di dalamnya.” Demikian Ustazah memberikan cadangan.

“Ummi, masa Ummi nak berkahwin dengan arwah Abah dulu ada tak Ummi buat solat Istikharah?” Aku menyoal Ummi sambil merapatinya yang kulihat sedang tekun memeriksa buku-buku latihan.

“Ada.” Pendek jawapan Ummi.
“Habis tu Ummi dapat mimpi apa?” Soalku lagi benar-benar ingin tahu.
“Tak ada mimpi.” Ummi menjawab lagi.
“Kalau tak mimpi macam mana Ummi dapat petunjuk untuk buat keputusan? ”
“Begini sayang,” Ummi merangkulku dengan tangan kirinya sambil tangan kanannya diletakkan di atas dadaku.
“Petunjuknya ada dalam hati kita, kalau Ummi nak tunggu mimpi dan melihat wajah Abah dalam mimpi Ummi, rasanya sampai sekarang ni Ummi tak kahwin dengan Abah dan bukan Iqah yang lahir dari rahim Ummi. Iqah tanyalah hati kecil Iqah. Ummi tak ingin memaksa. Ustaz Khairi tu pun baru merisik aje. Dia dah buat solat Istikharah tapi katanya tak nampak apa-apa jugak. Tak ada mimpi, yang ada hanya realiti. Dia hanya menanti. Rasanya jawapan itu ada pada Iqah.” Ummi meleraikan pelukannya dan kamipun beredar ke bilik masing-masing lantaran malam yang telah semakin lewat.

“Tuhanku jika pilihanku ini baik untukku, baik untuk duniaku dan akhiratku maka Engkau permudahkannya bagiku, tetapi jika pilihanku ini buruk untukku, buruk untuk duniaku dan buruk juga untuk akhiratku maka Engkau jauhkannya daripadaku.”

Aku menitiskan air mata, gundah-gulanaku kuadukan kepada-Nya. Kualunkan bacaan al-Quran seadanya dan kucuba memahami bait-bait ayat surah at-Taubah yang kubaca sehinggalah aku sampai ke sebaris ayat yang begitu menusuk jiwaku:


Ayat tujuh surah at-Taubah. Ayat itu bermaksud “Bagaimana bisa ada perjanjian (aman) dari sisi Allah dan rasul-Nya dengan orang-orang Musyrikin, kecuali orang-orang yang kamu telah mengadakan perjanjian (dengan mereka) di dekat Masjidilharam? Maka selama mereka berlaku lurus terhadapmu, hendaklah kamu berlaku lurus (pula) terhadap mereka. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertakwa.”

Ya Allah inikah petunjuk-Mu? Aku harus berlaku lurus kepada orang yang telah berlaku lurus terhadapku? Siapa yang telah berlaku lurus terhadapku? Siapa yang telah berterus-terang tentang hasratnya terhadapku? Fahrin? Tidak. Siapa lagi kalau bukan Khairi. Aku pasrah ya Allah. Aku pasrah dan pasti jika inilah jawapan yang dinanti-nantikan oleh Ummi dan Ustaz Khairi. Malam itu aku tidur lena hingga ke pagi tanpa mengharap apa-apa mimpi lagi. Biarlah aku mengimpikan sesuatu di alam realiti, tidak lagi pada mimpi-mimpi yang belum pasti.

BUAT RENUNGAN ANAK-ANAKKU YANG TELAH CUKUP DEWASA UTK MENGENAL ERTI CINTA

| | 2 pandangan

Jika ada insan menyatakan cintanya kepadamu,
tuluskah dia?
Adakah setulus cinta ayahanda dan bonda
yang ingin membawamu ke syurga?
Ataukah setulus cinta sahabat
yang dapat membawamu bernaung di bawah bayangan ’arasy ALLAH pada hari yang tiada naungan
selain daripada naungan -Nya.?
Atas dasar apakah pertemuan
dan perpisahanmu
dengannya?
Andai engkau yang menyatakan cintamu kepadanya,
tuluskah kamu?
Adakah sandaranmu nafsu semata atau cintamu kerana padanya ada cinta Allah dan Rasul -Nya?

-Bonda :1 Jan .2009

Lembaran Baru

| | 2 pandangan

Assalamualaikum, saya ni orang tua yang baru nak belajar main blog. Kalau ada yang sewaktu dengan saya atau di luar waktu (yg lain umur) bolehlah kita bertukar-tukar fikiran, pengalaman hidup & pandangan.