FALSAFAH HIDUP SEKUNTUM MAWAR

| | 1 pandangan

Pada petang ini saya ingin mengajak semua merenung “Falsafah hidup di sebalik sekuntum mawar” . Tentu semua orang tahu dan kenal bunga mawar atau “rose”, sejenis bunga yang cantik, bermacam warna, harum tetapi berduri. Mawar sering dijadikan sebagai perumpamaan untuk seorang gadis, contohnya mawar putih, gadis yang suci murni, mawar berduri gadis yang sukar atau berbahaya untuk didekati. Namun kalau kita perhatikan betul-betul dengan pandangan mata hati, di sebalik kehidupan sekuntum mawar itu ada satu falsafah yang tersembunyi yang boleh kita jadikan perinsip dalam hidup kita.

Bunga mawar memang cantik dan indah dipandang, lebih-lebih lagi apabila ia sedang mekar. Walaupun jangka hayat sekuntum mawar itu tidak lama namun mawar tetap berjasa, sarinya yang sedikit itu tetap berguna untuk serangga seperti kumbang atau lebah sebagai makanan mereka. Bau harum pada bunga mawar jika dihidu, boleh menjadi “aroma therapy” untuk menenangkan hati dan mententeramkan perasaan serta menyegarkan minda, kelopak bunga mawar juga boleh dimakan dan dibuat bahan bagi menghasilkan minyak wangi dan air mawar yang boleh digunakan dalam masakan, minuman atau kosmetik.

Paling popular sekali bunga mawar menjadi perhiasan di sudut-sudut rumah atau di meja-meja dalam berbagai ruang dan upacara. Kadang-kala menjadi hadiah untuk seseorang yang istimewa. Apabila kita melihat bunga-bunga ini tentu hati juga merasa ceria dan gembira, lebih-lebih lagi jika mawar ini menjadi penghias majlis raja sehari. Tetapi awas dalam keadaan serba cantik dan menawan, mawar tetap mempunyai senjatanya iaitu duri, jika kita tidak berwaspada ketika memetik atau menyentuhnya tentu kita akan terkena durinya yang tajam itu.

Begitulah ibaratnya diri kita jika kita ingin mengambil falsafah hidup sekuntum mawar ini, hendaklah kita jadikan diri kita seorang yang berguna dan bermanfaat bukan saja kepada diri kita bahkan juga kepada orang lain. Memang hidup kita di dunia ini tidak lama, oleh itu hendaklah kita bina kehidupan ini sebaik-baiknya, biarlah hidup kita berjasa walaupun sedikit nescaya akan dikenang orang dan disukai orang. Hendaklah kita sentiasa berwaspada dan berhati-hati dalam melayari kehidupan ini agar kita tidak menyesal kemudian nanti.

Sebagai penutup renungan hari ini : Ibaratkan dirimu sekuntum mawar: “Semoga mekarmu indah menghiasi sudut duniawi, harummu dinikmati insan mententerami hati, walau hayatmu hanya sebentar, sarimu buat sang lebah menghasilkan madu walau setitis cuma. Kau mawar indah dipandang, anggun, ceria namun penuh waspada.”


Sekian, semoga tazkirah hari ini ada manfaatnya untuk kita bersama. Wabillahittaufiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

HARI INI HARI LAHIR BONDA

| | 1 pandangan



HARI INI HARI LAHIR BONDA!

ULANG TAHUN YANG KE BERAPA BONDA?

48


SELAMAT HARI LAHIR BONDA

SEMOGA PANJANG UMUR DAN DIMURAHKAN REZEKI.

AL-HAMDULILLAH

TETAPI

PERNAHKAH ENGKAU TERTANYA ANAK-ANAKKU

TINGGAL BERAPA LAMA LAGI USIAKU?

MEMANG TIADA SIAPA YANG TAHU

TERMASUKLAH DIRIKU

PERNAHKAH KAU TELITI

GARIS-GARIS USIA DI WAJAHKU

ATAU

PERNAHKAH KAU KIRA UBAN DI KEPALAKU?

MUNGKIN KAU TIDAK PERASAN SEMUA ITU

KERANA SELAMA YANG KAU LIHAT

AKU TETAP SIHAT, KETAWA, CERIA & SIBUK

MELADENI KAMU SEMUA.

NAMUN

MASANYA AKAN TIBA ANAK-ANAKKU

ENTAH AKU ATAU KAMU

YANG AKAN PERGI DAHULU

JUSTERU

SEMENTARA MASIH DIBERI WAKTU

OLEH YANG MAHA TAHU

MARI KITA SALING BERBAKTI

AKU KEPADA AYAHBONDAKU

DAN KAMU KEPADA AYAHBONDAMU

AGAR

DI SUATU MASA NANTI KITA AKAN DISATUKAN

BERSAMA-SAMA DENGAN

ANAK SOLEH DAN SOLEHAH

YANG MEWARISI SYURGA ALLAH.