HATI, AQAL & NAFSU

| | 0 pandangan


Hati, akal & nafsu- inilah tajuk tazkirah saya pada petang ini, mudah-mudahan tazkirah ini dapat mengisi serba sedikit input berharga kepada minda kita.

Hati umpama raja, aqal adalah bendahara atau penasihat kepada raja, manakala nafsu adalah rakyat yang mewakili anggota tubuh badan kita. Menurut Imam al-Ghazali pula nafsu macam kuda, ia boleh ditunggang dan dibawa kemana saja. Jika baik tempat yang dituju maka baiklah jadinya, tetapi jika kuda itu dibawa ke tempat yang berbahaya ia boleh jadi cedera atau jatuh ke dalam gaung.

Akal sebagai penasihat, mestilah sentiasa menjadi penasihat kepada raja supaya raja dapat memerintah rakyat dengan aman sejahtera. Untuk itu akal mestilah mendapat input dan panduan yang baik, jika tidak, akal akan menjadi penasihat yang jahat. Sebab itu sebagai seorang Muslim panduan kita yang paling utama adalah al-Quran dan al-Sunnah. Jika nafsu dibiarkan memberontak, sudah pasti raja menjadi lemah atau terpaksa turun takhta. Maka rakyat pula tidak akan terbela.

Hati yang sejahtera sebenarnya ditempa oleh makanan yang suci dan halal. Hati menjadi kotor kerana banyaknya dosa dan maksiat yang dilakukan. Jika kita hendak membaiki kereta kenalah ke bengkel kereta, jika hendak membetulkan hati maka hendaklah kita ke bengkel taubat. Taubat bermaksud kembali ke jalan Allah setelah melakukan dosa.

Caranya:

  1. Cari guru yang boleh mengajar dan mendidik kita.
  2. Cari teman yang baik, yang sama cita-cita dengan kita ingin bertaubat dan jarakkan diri dari kawan yang jahat.
  3. Dengar apa musuh kata kepada kita sebagai muhasabah diri.
  4. Bergaul dengan masyarakat, melihat dan belajar daripada apa yang berlaku di sekeliling kita.

Syarat-syarat taubat itu ada 4:

1. Berhenti melakukan perbuatan dosa & maksiat itu.

2. Berazam tidak akan mengulangi kesalahan yang sama.

3. Menyesal atas perbuatan yang telah dilakukan.

4. Jika berkaitan dengan hak orang, hendaklah memohon maaf kepada orang yang kita buat salah itu.

Kata imam al- Ghazali kalau rasa resah gelisah puncanya ialah dosa. Oleh itu jauhilah perbuatan dosa nescaya hati,akal dan nafsu akan sejahtera sentiasa. Sekian wabillahit taufiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.