Andalusia

| | 1 pandangan



written by - Makwa

“Engkau dah gila ke Ida, jatuh cinta konon, habis suami kau tu kau nak letak di mana, anak kau yang dah berderet tu macam mana? Eh kau tak malu ke? Dah tua-tua nak jatuh cinta macam orang muda.” Ani merengus sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Betul Ani aku rasa aku dah jatuh cinta dengan budak ni, hari-hari aku ingat kat dia, bila celik aje mata terbayangkan muka dia, mana-mana aku pergi, apa saja aku buat, sampai sembahyangpun tak boleh nak khusyuk.” Aku terus meluahkan apa yang aku rasa.

“Kau biar betul, jangan jadi mereng, aku rasa tak munasabahlah kau ni, cuba kau cermin muka kau tu, kulit dah kendur, uban dah berterabur, kau perasan tak yang umur kau tu dah lima puluh, budak tu baru tiga puluh, eh dua puluh tahun beza dah…” Ani, rakan karibku itu makin menyinga, kalau aku ni anaknya mahu dijengkalnya muka aku.

“Tu lah Ani, aku tengah serabut ni. Tadi dia datang lagi ke sekolah aku hantarkan bahan pameran program untuk sekolah. Dah setahun lebih aku tak tengok muka dia, hari ni dia datang lagi. Teringat balik senda guraunya dan peristiwa lalu. Hai lagilah perasaan aku tak tentu hala...” Kulihat mata Ani semakin mencerlang marahnya.

“Hei, hei kau dengar sini, dengar nasihat aku ni, jangan dilayan angan-angan kau yang tak masuk akal tu. Kalau kau nak teruskan juga cerita karut kau jatuh cinta dengan budak tu kau jangan datang jumpa aku lagi. Kalau tidak aku tembak kau nanti, kau jangan panggil aku Ani.” Beria-ia Ani mengugut aku.

“He, he, he, kalau macam tu aku panggil kau Enot le pulak....Ani kau janganlah marah, aku hanya nak luahkan perasaan aje. Aku sebenarnya nak tengok respon kau. Walaupun engkau marah, abis aku nak buat macam mana? Tapi memang betullah Ani aku dah jatuh cinta dengan budak ni, jatuh cinta sangat-sangat, tapi bukan untuk aku, untuk anak aku, nak buat menantulah. ” Muka Ani kurenung, raut muka yang tegang dan merah padam itu serta merta bertukar menjadi ceria dan cerah. Ani ketawa terkekeh-kekeh.

“Ahh... cakaplah engkau dah berkenan, ini kata dah jatuh cinta, mahunya aku tak marah...” Ani tergelak-gelak lagi.

“Hai..tak sangka rupanya kawan aku ni dah gile nak bermenantu... ” Ani mengusikku.

“Anak dara aku dah besar-besar Ani, yang sulung dua puluh sembilan, yang kedua dua puluh lapan, yang ketiga dua puluh tujuh. Yang bungsupun dah dua puluh tiga. Sorangpun belum nampak tanda-tanda nak kahwin, mahunya aku tak gile, anak dara ramai pulak tu, tujuh orang, kalau tujuh-tujuh jadi “andalusia” macam mana, tak risau engkau?..” aku meluahkan apa yang terpendam dalam hatiku selama ini.

“Alah... kan jodoh pertemuan di tangan Tuhan, sampai masanya nanti adalah jodohnya. Insya Allah perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, bukan ke itu janji Tuhan?”

Ani menasihatiku sambil mensedekahkan sekuntum senyuman manisnya kepadaku.

Aku mempunyai tujuh orang anak gadis, berpendidikan baik, semua sampai ke universiti. Rupa paras cantik, hasil kacukan Cina campur Melayu daripada aku dan Arab daripada suamiku. Semuanya al-hamdulillah, tiada yang cacat, tinggi lampai, kulit putih kemerahan, hidung mancung dan yang paling indah masing-masing bermata hitam dengan bulu mata yang lentik dan alis yang lebat, sebijik macam mata orang Arab tiada yang sepet macam Cina.

Ketika mula menimang cahaya mata pertama, gembiranya suamiku.

“Rasa macam nak melompat” katanya.

“Mengapa tak lompat?” Aku menyoalnya kembali.

“Malu...” Begitulah seronoknya lelaki mendapat zuriat.

Ketika menimang cahaya mata ke lima suamiku mulai tawar hati.

“Perempuan lagi. Tak adalah waris asabah kita” keluhnya.

“Syukurlah bang anak kita sempurna. Yang abang sibuk nak cari waris asabah ni kenapa?, banyak benar ke harta kita...takut jatuh ke tangan orang?” Aku meningkah lembut.

Cahaya mata ke tujuh ...lagi perempuan.

“Kalau macam ni abang nak kahwin lagilah nak dapatkan anak lelaki” suamiku mengusik sambil ketawa.

Hatiku rasa bagai direnggut walaupun nadanya dalam gurauan. Orang lelaki ni lupa agaknya, macam tak pernah belajar Sains, bukankah benih lelaki yang menentukan jantina anak. Orang perempuan hanya ada kromosom XX saja, sedangkan lelakilah yang ada kromosom XY yang membolehkan lahirnya bayi lelaki. Malah jantina bayi telah ditentukan oleh Allah pada saat bertemunya sperma ayah dengan ovum ibu.

Selepas cahaya mata ke tujuh aku mengambil keputusan untuk pencen daripada mengandung dan bersalin, suamipun setuju, sebab ketika itu usiaku telah mencecah empat puluh tahun, dah cukup tua untuk mengandung dan melahirkan, lagipun bahaya kata doktor.

Rupa-rupanya bila kita semakin tua kesakitan saat melahirkan bayi semakin tidak dirasa. Bila aku dimasukkan ke hospital pagi itu aku dok relax saja baca-baca surat khabar, pukul lapan pagi bila doktor datang membuat pemeriksaan, laluan kelahiran telah membuka lima sentimeter.

“Kakak tak rasa sakit ke baby dah nak keluar? ” Doktor bertanya dengan rasa hairan.

“Tak rasa apa-apa pun doktor? ”

“Inilah bahayanya kak, bila dah berumur dan dah banyak kali bersalin, rasa sakit tiada, ibu tidak tahu bayi nak lahir dan tidak meneran, bayi boleh mati lemas.. nurse mari kita bawa kakak ni masuk ke bilik bersalin. ”

“Ye ke doktor, saya ingat tak rasa sakit, lambat lagi nak bersalin... ” Masuk saja ke bilik itu, tidak sampai sepuluh minit, cahaya mata ketujuhku pun menjeritkan suaranya...jeritannya memeranjatkan doktor dan jururawat... emaknya tak sempat pun nak menjerit sakit. Syukur al-hamdulillah, puteriku yang paling comel selamat dilahirkan.

Kami bukan tak mahu kahwin Umi, tapi belum ada lagi calonnya. Umi juga yang kata kalau nak cari suami cari yang jaga solat, kalau cukup dan boleh jaga solat, bolehlah dia jaga rumahtangga dan anak isteri.. kata Kak Long bila ku tanya bila nak kahwin.

Zaman sekarang ni susahlah nak cari budak lelaki macam tu Umi, kalau sembahyang short satu dua waktu tu biasalah ..kawan-kawan lelaki Angah majoriti macam tu. Kalau kerja sibuk sikit tinggal solat, kalau hari off duty tidur sampai lewat malam, alamatnya solat Subuh pun khatam.

Tulah Umi ni nak cari menantu macam ustaz-ustaz, cuba tengok anak Umi ada ke macam ustazah? Tambah anak gadisku yang ketiga.

Hai entahlah, budak-budak zaman sekarang ni susah nak cakap. Umi nak engkau orang cari yang terbaik. Terpulanglah pada engkau orang” aku mengeluh kehabisan bicara.

Ye susah Umi, apa kata Umi carikan untuk kita orang semua, kita orang tak kisah siapa saja yang Umi berkenan. Kita orang memang nak kahwin. Kita ikut je apa kata Umi...

Tapi kalau kami tak kahwin pun Umi jangan bimbang, insya Allah kami boleh berdikari dan jaga diri masing-masing.” Anak sulungku bagai membuat keputusan.

Bisu aku jadinya bila mendengar jawapan anak-anakku. Ibu mana yang tidak ingin melihat anaknya bertemu jodoh, punya keluarga, punya anak, bercucu dan bercicit. Ibu mana yang suka anaknya jadi “andartu” (anak dara tua) atau “andalusia” (anak dara lanjut usia)?

Namun aku pasrah. Pernah ku katakan kepada anak-anakku: Kalau kamu semua ni seanggun Siti Khadijah isteri Rasulullah s.a.w, Umi tak malu, beritahu saja pemuda mana yang kamu berkenan, insya Allah Umi akan pergi meminang. Tapi sebab kamu semua ni biasa-biasa saja biarlah kita ikut cara biasa..orang lelaki pinang kita.” Tergenang air mata puteri sulungku bila mendengar kata-kataku itu.

Walaupun hukum syarak mengharuskan wanita meminang lelaki dan para sahabiyah juga ada mengamalkan tetapi aku sendiri rasanya tidak berdaya hendak melakukannya. Malu...entahlah adakah maluku itu tidak bertempat? Bukan aku hendak ikut adat tetapi

aku tiada kudrat untuk berbuat demikian.

Bila kufikir-fikir dan kukaji-kaji, memang ramai anak gadis yang lanjut usia bukannya kerana mereka tidak mahu berkahwin tapi sebab susah hendak cari calon suami. Macam anak-anakku. Kalau adapun lelaki yang kita berkenan tak kan kita pulak hendak pergi meminang.

Punca-punca andalusia” atau andartu” ni adalah juga antaranya kerana hendak bantu keluarga dan adik-adik contohnya seperti jiran aku yang kupanggil kak Long, akhirnya setelah ibu ayahnya tiada, adik-adik berjaya dan berumah tangga dia tinggal dengan kucing menghadapi hari-hari tuanya.

Ada yang kecewa cinta, bertahun-tahun bercinta bagai nak rak, kemudian teman lelaki beralih arah, frust menungging langsung hati tertutup untuk berkahwin kerana sudah hilang kepercayaan kepada lelaki.

Ada pula kes fobia kahwin bila melihat banyak kes cerai berai berlaku, rumah tangga berantakan dan anak-anak terbiar. Ini berlaku pada anak saudaraku sendiri. Dia seorang peguam.

“Hii... takut Ima nak kahwin Mak Long. Kesian tengok isteri-isteri yang teraniaya ditinggalkan suami, gantung tidak bertali, mangsa ketidakadilan suami yang berpoligami dan macam-macam lagi” keluhnya yang saban hari menghadapi kes-kes tersebut.

Aku fikir masyarakat sepatutnya jangan memandang sinis atau hina kepada anak-anak gadis yang belum bertemu jodoh ini. Ibubapa terutamanya jangan rasa takut dan bimbang, atau asyik bertanya bila nak kahwin, bila nak kahwin, nanti anak kita jadi tension.

Kita sepatutnya cuba menasihati anak-anak gadis ini dan cari jalan mengatasi masalah andalusia” ini. Masyarakat hendaklah mengubah mentaliti, lihat mereka sebagai manusia biasa, sebagai sebahagian ahli masyarakat yang mahukan kehidupan terbaik, sama-sama ingin mengejar pahala dan mencari keredaan Allah.

Wahai masyarakat mengertilah, janganlah membuat andaian sesedap rasa terhadap anak-anak gadis ini. Ini adalah realiti, bukan kehendak diri mereka tetapi takdir ilahi.

Nilai kita di sisi Allah bukan berdasarkan status sudah berkahwin atau belum, tetapi taqwa.

Tidak berkahwin adalah satu takdir, bukan tanda kurangnya rahmat Allah terhadap diri.

Kepada anak-anak gadis ini, lihatlah dunia ini seluas 360°, jangan merasa sempit.

Tiada cacatnya kalau tiada bergelar isteri, bukan bererti kurang jika tidak bergelar ibu.

Daripada jatuh ke tangan lelaki buaya, penggoda, pisau cukur hingga parah atau lelaki yang buat kerja teamwork dengan isterinya untuk mengikis perempuan-perempuan sebegini lebih seribu kali baik awak hidup sendiri.

Kalau boleh juga janganlah cuba merampas suami orang sehingga meruntuhkan rumah tangga orang lain. Fikir-fikirlah mana lelaki yang patut dan tidak patut dijadikan suami. Beristikharahlah kepada Allah sebelum membuat sesuatu keputusan untuk berkahwin.

Wanita tanpa suami memang ada yang tidak mendapat sokongan daripada masyarakat bahkan juga ahli keluarga. Kepada sesama kaum wanita, sebaiknya kalau kita tidak boleh memberi dengan kata lain berkongsi suami, janganlah menghina mereka. Berilah penghormatan, sokongan moral dan ambil peduli jika mereka ingin mencurah perasaan, lebih-lebih lagi jika mereka adalah adik beradik dan saudara mara kita.

Menurut statistik, sehingga 1989 Malaysia mempunyai “andartu” (wanita sekitar 30 hingga 34 tahun) seramai 600,000 orang. Kalau 600, 000 itu dibahagi dengan empat pun bermakna kita perlukan sekurang-kurangnya 150,000 orang lelaki untuk mengahwini mereka, itupun kalau semuanya kahwin empatlah.

Justeru kepada ibubapa janganlah menekan sangat, anak perempuan kalau tiada calon suami cubalah carikan. Tanyalah kawan-kawan ke, bekas anak-anak murid ke (kalau cikgu) atau kalau tidak pun minta kerjasama Mak Andam sebab Mak Andam ni biasanya orang suruh juga jadi match maker kerana mereka ni banyak jumpa orang yang hendak kahwin.

Aku ni pandai nasihatkan orang tetapi anak dara akupun berderet-deret belum berkahwin.

Aku sebagai ibu sentiasa mendoakan buat anak-anakku:

Tuhan kami kurniakanlah kepada kami pasangan dan zuriat sebagai penyejuk mata dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang bertaqwa.

Semoga doaku akan dimakbulkan Allah.

(25 Mac 2009- 15 Ogos 2010)