CERPEN - CARI MENANTU

| |


CARI MENANTU

Aku tidak senang duduk. Tinggal dua hari saja lagi. Rasanya makan pun tak lalu kerana belum dapat menghubungi penceramah untuk program Maulidur Rasul di sekolahku. Beginilah aku jika ada apa-apa program yang akan dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam di sekolah, maklumlah ketua Panitia. Nak bentuk AJK pelaksana, nak “handle” mesyuarat, nak cari penceramah, nak tentukan siapa uruskan jamuan dan macam-macam lagilah.

“Assalamualaikum.” Aku menyapa ketika talian disambungkan.
“Ustazah nak jemput Auza’ie untuk ceramah program Maal Hijrah di sekolah ustazah boleh tak?...”.
Akhirnya aku dapat menghubungi seorang penceramah iaitu seorang ustaz bekas anak muridku ketika mengajar di sebuah sekolah di negeri kelahiranku. Menurutnya ketika ia menjawab panggilanku itu, dia berada di Jeddah, sedang dalam perjalanan pulang daripada mengerjakan fardu haji. Ini adalah jemputanku kali kedua untuknya, kali pertama sempena majlis sambutan Maulidur Rasul pada tahun lepas.

‘Majlis Ceramah dan Sambutan Maulidur Rasul’ di sekolahku itu berjalan dengan lancar dan jayanya. Hari itu aku balik dari sekolah dengan senyum lebar dan ceria. Aku bercerita kepada suami dan anak-anak tentang gurauan anak muridku yang ingin menjadi menantu “ustazah Hani” iaitu aku. Entah dari mana dia dapat tahu bahawa aku mempunyai anak gadis yang sedang meningkat dewasa.

“Iffah ! Cuba kau tengok video ustaz yang tengah beri ceramah ni! Macam mana? Handsome tak? ”, aku memancing anakku yang sulung dengan pertanyaan sambil tersenyum-senyum penuh makna. Video ceramah itu kurakam ketika program Smart Solat yang diadakan di sekolahku siang tadi.
“Okey jugak!” Jawab Iffah bersahaja.
“ Siapa ni mak?” Tanya Iffah.
“Tak kan tak kenal, dulu kan emak pernah tunjuk gambarnya masa sedang beri ceramah Maulidur Rasul di sekolah emak?. Itulah Ustaz Auzaie, nama penuhnya Hj. Muhammad Auzaie bin Abdullah”.
“Hari tu tengok gambar kata “not my taste”, hari ini tengok videonya kata “okay” pulak, nanti kalau tengok orangnya macam mana ye? Entah-entah terus “I love you”. Aku mengagah Iffah.
“ Eh, dia usik mak lagi, nak jadi menantu Ustazah Hani”. Kulihat merah muka Iffah menahan malu.

Malam itu, selepas mengemaskan meja makan malam, aku duduk bergurau lagi dengan anak-anak gadisku. Topiknya tentang Ustaz Auzaie. Tergelak besar setiap kali sesuatu yang lucu terkeluar dari mulut salah seorang daripada kami. Sambil beredar ke ruang tamu aku mengeluh.

“Hai... lamanya nak tunggu.” Aku meluahkan perasaan yang terbuku di hati.
“Mak dah resah gelisah gundah- gulana ni”, ujarku. Anak-anak memandangku
sambil tersengih.
“Gundah guluani!.” Izzati anak kedua mencelah.
“Gundah guluani???”, soal aku.
“Dekat hostel Ija ada sorang kawan namanya Guluani, budak Kelantan. Bila cakap gundah-gulana je jadi gundah guluani.” Katanya selamba sambil matanya menatap halaman kertas nota di tangan. Izzati sebenarnya sedang membuat ulangkaji untuk peperiksaan akhir semester tahun dua yang bakal menjelang empat hari lagi.
“Bukan ke gundah-gulana tu, macam ada perkara yang terbuku dalam hati?.” Ujarku. Safi dan Izzati berpandangan.
“Sama la tu.” Ujar Izzati.“Sama ke? Bukan gundah-gulana tu rasa pilu ke?”, soal Safi anak gadisku yang ketiga.
“Entah...” jawabku.
“Kalau kau Fi, kau suka tak kalau Ustaz tu jadi dengan kak Iffah kau?”, soalku.
“Kalau dapat bagusla. Kan Nabi kata kalau nak cari bakal suami atau isteri cari lah yang beragama nescaya akan beruntung. Kalau dapat yang ada rupa, keturunannya baik, berharta dan beragama macam Ustaz tu lagilah untung. Untung dunia dan akhirat. Tapi kalau tak dapat pun mesti ada hikmah.” Ujar Safi, macam ustazah pula dia . Selang beberapa saat Iffah pun sampai ke ruang tamu rumah kami itu.
“Kenapa? Kenapa? Cakap apa ni?”, soal Iffah.
“Dah abis dah” jawab Safi lalu angkat kaki ke biliknya.
“Kalau dah habis tu kau tau apa maksudnya? Maksudnya kita orang mengumpat engkau.” Ujar Izzati sambil mengumpul kertas-kertas notanya. Kami pun ketawa berderai menyebabkan Iffah terpinga-pinga. Aku berlalu ke bilikku yang bersebelahan dengan ruang tamu, kulihat Iffah dan Izzati beralih melabuhkan punggung di sofa.
“Aku tak tahulah. Aku rasa berat je pasal ustaz ni. Aku dah buat solat Istikharah yang mak suruh tu tapi tak nampak apa-apa pun.” Walau berada di dalam bilik tetapi jelasku dengar Iffah meluahkan rasa hatinya kepada Izzati.
“Kalau nak, kau cakap nak. Tak nak, cakap tak naklah Kak, Mak okey je.” Jerkah Izzati.
“Aku tak pastilah.” Suara Iffah semakin perlahan.
“Kau solatlah Istikharah lagi, buat sampai tujuh belas kali ke? Sampai puas hati.
Entah apa lagilah yang Kak Long ni tak berkenan. Kalau aku sendiri. Aku suka dah dapat jodoh yang baik. Susah-susah kau pass je kat aku Kak...” Tingkah Izzah sambil ketawa meleret dan berlari ke bilik.
“Hei, jaga kau ..” Si Kakak kudengar menjerit sambil mengejar adiknya.

Sebelas hari telah berlalu sejak hari aku memperkenalkan anak sulungku itu kepada Auza’ie. Hanya kuberikan nama penuhnya dan sedikit latar belakang umur serta pendidikan. Kuminta dia melakukan solat Istikharah juga. Harap-harap esok dia akan memberikan jawaban. Hari tu ketika aku menelefonnya untuk meminta kepastian sama ada betul atau tidak dia ingin menjadi menantu “Ustazah Hani” dia mengatakan akan balik ke kampung pada hujung minggu dan berbincang dengan orang tuanya, agaknya mungkin dia telah balik semula ke kediamannya di Damansara. Demikianlah congakan dan harapanku. Dua tiga hari ini memang aku kurang selera makan, tidurpun tidak berapa lena. Pukul empat lima pagi aku dah terjaga, terkebil-terkebil terus teringatkannya – Auza’ie. Hai macam orang bercinta pulak.
“Kling-kling....., kling-kling.” Dua kali berselang bunyi deringan telefon bimbit.
Aku terjaga, bila kulihat jam hampir ke pukul lima pagi. Macam semalam, bila terjaga saja, terbayangkan juga muka budak bertuah tu. Pukul lapan pagi aku teringat hendak mengambil telefon bimbitku untuk dicaskan baterinya.

Sebaik saja melihat skrin telefon kelihatan isyarat ada pesanan SMS. Bila kubuka, kulihat dua nama yang sama terpapar. Auza’ie. Oh inilah yang aku dengar bunyi kling-kling pagi tadi rupanya bunyi isyarat SMS . Tidak syak lagi. Dalam debar aku membacanya:


4/06/2008
4:53:41AM
Salam ustazah, maaf ganggu ustazah awal-awal pagi ni. Maafla nak becakapun segan..memang ingat lebih baiknya saya bejumpa ustazah utk. bg. tahu apa keputusannya tp. Hanya temampu sms saje.maaf sgt2.ustazah sebaiknya saya maklumkan yg. saya masih belum bersedia buat masa ini dan belum ternampak lg. jodoh yg sesuai.

Kemudian aku membuka pesanan yang kedua:


4/06/2008
4:56:41AM
Saya minta maaf sangat2 kalau sms saya ni buat ustazah terasa atau apa-apa ajelah...Maaf sgt2 kpd. ustazah dan keluarga ustazah. Saya harap sgt2 hubungan antara seorang anak murid dgn. gurunya tetap akan terus terjalin. Salam.

Perasaanku bercampur-baur antara lega, suka dan sedih. Sebaik selesai membaca SMS tersebut, terus aku menelefonnya, debarku tahan dengan tertawa.

“Hello, assalamualaikum. Ha, Auza’ie, dah buat solat istikharah ye? ” Tanyaku.
“Adalah sikit-sikit. Minta maaflah ustazah, tak nampak apa-apalah. Maaf sangat-sangat”. Jawabnya.
“Tak apalah Auza’ie. Ustazah bukan apa hanya nak pastikan “Things clear” antara kita, sebab kita nanti mungkin akan berurusan lagi di masa-masa akan datang”, jawabku bersahaja.
“Minta maaflah ustazah, nanti janganlah pulak ustazah “black list” saya dan tak jemput lagi ke sekolah ustazah”, Auza’ie menjawab.
“Oh tak, Auza’ie pun janganlah segan pulak dengan ustazah, kalau “next time” Ustazah tak jemput bukanlah maknanya dah “black list” tapi kita beri giliran pada penceramah lain pulak.”
“Okaylah ustazah, terima kasih kerana menelefon saya. Minta maaf ye Ustazah.”
Rendah saja nada suaranya menjawab.
Selepas itu aku pun sudah tidak pasti lagi apa yang harus kukatakan dan kami pun berpamitan dengan ucapan salam.

Kalaulah aku mampu untuk berkata-kata dengan lebih lanjut, inilah yang ingin ku ucapkan kepada bekas anak muridku itu:
“Tak apalah Auza’ie, apa nak dikatakan dah tiada rezeki dan tiada jodoh, Allah lebih mengetahui mana yang lebih baik untuk kita, ustazah teringat satu maksud ayat al-Quran (al-Baqarah 216). Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagi kamu, Allah mengetahui sesuatu, sedangkan kamu tidak mengetahui”. Mudah-mudahan Auza’ie akan dipertemukan Allah dengan jodoh yang sesuai. Lepas ni kalau kita berjumpa dalam majlis-majlis di sekolah, jangan “joke-joke” lagi. Walau bagaimanapun sebenarnya ustazah taklah serik. Kalau ada lagi peluang masih ada lagi harapan. Anak dara ustazah kan bukan seorang tapi lima orang. Takut Auza’ie yang dah serik.” Masih ingin lagi aku bergurau mengusiknya. Apalah agaknya “respon” Auza’ie jika itu yang kukatakan.
Inginku sambung lagi, “Ustazah juga berharap agar hubungan antara guru dan muridnya ini tidak akan putus sampai bila-bila, kalau boleh ustazah nak kenal hingga ke anak cucu Auza’ie nanti. Pengalaman ni bagi Ustazah suatu yang amat berharga kerana bukan semua ibu dapat mengalaminya. Banyak pengajarannya buat Ustazah.
Ustazah pun minta maaf juga kalau ada tersalah dan tersilap atau kalau ada tindakan yang agak emosional atau tidak rasional dan keterlaluan.”

Apa pengajarannya tidak perlulah aku ceritakan kepada Auza’ie. Memanglah ada terselit rasa malu dan sedih kerana hasrat tidak kesampaian. Apabila kurenung ke dalam diri rupa-rupanya diriku ini belum pantas lagi untuk bermenantukan Ustaz atau Tuan haji. Seharusnya aku menghisab dan memperbaiki diri, keluarga dan anak-anakku. Perjalanan untuk mencari menantu ini masih jauh. Aku cuma ingin mencuba menggapai peluang yang berlalu di depanku. Beginilah rupanya perasaan seorang ibu, sentiasa menghendaki yang terbaik buat anaknya, walaupun ia sendiri tidak begitu yakin hasratnya akan tercapai. Namun kufikir aku telah bertindak secara rasional dan berhemah, bukan terburu-buru. Setiap tindakan telah kubincangkan dengan suami dan anak-anak. Aku tidak ingin memaksa sesiapa. Aku juga tidak bergurau tapi sungguh-sungguh. Aku akur dan reda atas ketetapan Allah. Pasti ada hikmahnya. Dua minggu cuti sekolah penggal pertama tahun ini, dua belas hari daripadanya terisi dengan peristiwa yang menjadi suatu sejarah dalam kehidupanku sebagai seorang ibu. Pengalaman mencari menantu.

Selamatlah kamu anak-anakku, semoga kau akan bertemu dengan jodoh yang akan dapat menemanimu ke syurga nan abadi, bahagia di dunia dan di akhirat. Amin...

0 pandangan:

Post a Comment