TAZKIRAH

| |

Tazkirah kali ini bertajuk : Siapa kekasih ku ? Persoalan ini saya lontarkan buat semua warga untuk menjawabnya.

Rasulullah s.a.w telah bersabda mafhumnya ,"Tidak sempurna iman kamu sehingga aku lebih dikasihinya daripada anak, ibu bapa dan manusia seluruhnya"(HR Bukhari –Muslim). Dalam sebuah hadith lain, Rasulullah s.a.w bersabda mafhumnya,
"Tidak sempurna iman kamu sehingga aku lebih kamu cintai daripada diri kamu sendiri."
(HR Bukhari)
Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 31:
– Katakan wahai Muhammad : Jika kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku nescaya Allah akan mencintai kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu dan sesungguhnya Allah Maha pengampun lagi maha mengasihani.

Allahu akbar. Kiranya cinta kasih kepada junjungan dikaitkan dengan keimanan dan keampunan Allah. Kekasih kita yang terawal di kalangan manusia sepatutnya adalah Rasulullah s.a.w. Persoalannya adakah selama ini kita telah meletakkan cinta kasih kita pada tempat yang betul, atau kasih hanya sekadar di bibir sahaja tanpa bukti yang nyata tampaknya? Bagaimana dan berapa kerap kita mengingati kekasih kita? Adakah kita termasuk dalam golongan orang yang sentiasa bersedia dan berusaha untuk mengenali baginda dengan cara yang lebih mendalam supaya bertambah kasih dan cinta kepadanya?

Cinta sebenarnya tidak mungkin tumbuh dengan sengaja tanpa sebab. Cinta perlu kepada perkenalan. Tak kenal maka tak cinta. Sebagaimana Makrifatullah adalah awal mengenal agama dan mencintai Allah, maka mencintai Rasul memerlukan kita mengenali baginda. Untuk bertemu, bertentangan mata adalah tidak mungkin sama sekali kerana kelahiran dan kewafatan baginda telah berlalu lebih 1400 tahun dahulu dalam lipatan sirah. Yang tinggal untuk diwarisi, dikaji dan dihayati hanyalah Kitabullah dan Sunnahnya.
Apa yang pasti setiap tahun tanggal 12 Rabiul awal adalah hari ulang tahun kelahiran baginda s.a.w. Abu Lahab adalah orang pertama yang merayakan kelahiran Nabi dengan membebaskan hambanya Thuwaiba, pembawa

Terdapat berbagai pendapat ulamak tentang kebolehan, keutamaan bahkan penolakan, terhadap diadakan peringatan Maulid Nabi s.a.w ini. Menurut Dr. Yusuf al-Qardawi sekiranya sambutan ini dijalankan sejajar dengan syariah (tiada bidaah), ia dapat mendekatkan umat Islam kepada ajaran Islam dan sunnah serta sirah kehidupan baginda s.a.w.
Umat Islam kini semakin melupai Nabi s.a.w. Manusia yang tidak mengenal Allah kadangkala menjadi ikon mereka. Mereka lebih kenal dan kasih kepada penyanyi, pelakon dan pemain bola daripada Rasulullah s.a.w. Maka melalui program-program ilmiah sambutan Maulidur Rasul ini boleh menjadi suatu kaedah untuk mengingatkan mereka mengenai Nabi s.a.w, para sahabat r.a., perjuangan dan sirah baginda agar dapat diambil pengajaran daripadanya.
Sempena Maulidur Rasul pada kali ini marilah kita sama-sama muhasabah diri. Siapa kekasihku? Benarkah Rasulullah ikon dan kekasihku? Benarkah baginda manusia pertama yang aku kasihi? Jika benar apa bukti cintaku? Sudah berapa banyak ajaran dan sunnahnya yang aku amalkan?
“Kamu akan bersama-sama orang yang kamu kasih” demikian mafhum sebuah hadis Nabi s.a.w. Mudah-mudahan kita akan dapat berserta dengan baginda di akhirat kelak, insan yang menjadi kekasih awal dan akhir kita...Allahumma solli ala saiyidina Muhammad wa ala alihi wasahbihi ajmain walhamdulillahi rabbil alamin... salam Maulidur Rasul.

0 pandangan:

Post a Comment